Thursday 2 August 2012

faedah pertanian kepada manusia

FAEDAH PERTANIAN KEPADA MANUSIA
Sektor pertanian telah menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia terutamanya semasa era selepas merdeka, yang pada masa tersebut majoriti penduduk tertumpu kepada kegiatan ekonomi berasaskan pertanian. Namun dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan negara, sektor pertanian beransur-ansur dipandang sayu terutamanya oleh mereka yang tinggal di bandar. Sebenarnya, sektor pertanian ini mendatangkan banyak kebaikan kepada manusia.
Faedah yang paling dominan ialah sektor pertanian dapat memperluas peluang pekerjaan. Sesetengah masyarakat desa masih miskin dan ketinggalan malah kehidupan mereka umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Masalah ini dapat diatasi sekiranya mereka melibatkan diri dalam sektor pertanian kerana terdapat bantuan kerajaan dari segi pemodalan, kewangan, khidmat nasihat, teknologi, dan juga penyelidikan. Jadi, sektor pertanian ini secara langsung dapat menambahkan lagi peluang pekerjaan masyarakat.
Selain peluang pekerjaan, bekalan bahan mentah penting kepada sektor ekonomi sekunder dalam pemprosesan makanan. Hasil pertanian banyak digunakan dalam proses pengeluaran bahan makanan yang boleh dijadikan sebagai produk eksport. Eksport makanan yang juga merupakan hasil pertanian adalah seperti kelapa sawit, koko, lada hitam, beras dan sebagainya. Lantaran itu, kos pengeluaran dapat diminimumkan kerana harga bahan mentah yang dibekalkan oleh sektor pertanian adalah murah berbanding dengan pasaran antarabangsa.
Pada masa yang sama, sektor pertanian membekalkan bahan makanan untuk kegunaan domestik rakyat. Sebagai contoh, beras merupakan makanan asas penduduk Asia. Kita tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk memperoleh beras kerana padi banyak diusahakan di negara ini. Oleh itu, kita dapat menikmati harga makanan yang rendah, hasil sumbangan sektor pertanian.
Malahan, hubungan yang harmonis dengan negara jiran terutamanya negara yang dilanda kemelesetan ekonomi dapat diwujudkan. Hal ini disebabkan terdapat peluang pekerjaan yang begitu luas setelah berupaya menampung keperluan masyarakat desa dan masih mengalami kekurangan sumber tenaga manusia, buruh asing dari negara yang susah boleh mencari nafkah di negara kita yang kaya ini. Maka, sektor pertanian dapat meningkatkan lagi pendapatan negara malah mampu meningkatkan status negara kita.
Konklusinya, kita mendapat banyak kebaikan daripada sektor pertanian. Tetapi ramai golongan muda yang lebih gemar mencari pekerjaan di bandar besar kerana peningkatan kegiatan perindustrian yang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Namun, kerajaan telah bersungguh-sungguh untuk menjadikan tanah lapang yang subur sebagai tapak pertanian dan sedang menanti mereka untuk mengusahakannya. Justeru, kita hendaklah mengubah pandangan kita terhadap sektor pertanian kerana sektor ini sebenarnya mendatangkan banyak faedah.

5 comments: